Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Asia-Pacific Economic Leaders' Meeting (AELM) yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November 2025 di Gyeongju, Republik Korea.
Republik Korea adalah tuan rumah bagi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) bagi tahun 2025, dengan membawa tema 'Membina Masa Depan Yang Mampan : Berhubung, Berinovasi, Kemakmuran' (Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper).
AELM merupakan acara kemuncak bagi APEC Economic Leaders' Week (AELW) dan menandakan penutup kepada tempoh penganjuran Republik Korea selaku tuan rumah APEC. APEC ditubuhkan pada tahun 1989 dengan matlamat untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memperkukuh integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
Melalui kerjasama erat antara ekonomi-ekonomi serantau, APEC berusaha untuk mewujudkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak mendiskrimasi, telus dan boleh diramal.
APEC pada awalnya dianggotai oleh 12 ekonomi pengasas dan kini telah berkembang kepada 21 ekonomi di rantau Asia-Pasifik iaitu Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Republik Rakyat China, Hong Kong (China), Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Republik Filipina, Persekutuan Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Viet Nam.
Sebelum ini, Republik Korea pernah menjadi tuan rumah APEC pada tahun 2005, yang mana AELM telah diadakan di Busan.